AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki seret kucing guna motosikal

TELUK INTAN, 6 JUN: Seorang lelaki yang dipercayai menyeret seekor kucing dalam satu video yang tular di laman media sosial sejak semalam di Kampung Melayu, Langkap, dekat sini, menyerah diri kepada pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika hadir untuk menyerah diri di Balai Polis Langkap pada kira-kira jam 9.15 malam.

“Suspek datang sendiri ke Balai Polis Langkap untuk buat laporan penafian selepas diberitahu keluarganya berkaitan video yang tular itu.

“Menurut suspek, dia menangkap kucing itu untuk dibuang di kawasan kedai makan berdekatan rumahnya. Suspek menggunakan sauk untuk menangkap kucing itu dan semasa perjalanan, tiba-tiba kaki depan kucing terkeluar dari jaring sauknya menyebabkan kucing itu terseret di atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata suspek dilepaskan dengan jaminan polis pagi tadi namun kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Rakaman video berdurasi 34 saat itu memaparkan seorang lelaki sedang menyeret seekor kucing dengan menunggang motosikal dan mendapat kecaman netizen yang mahu lelaki tersebut diambil tindakan sewajarnya.

– BERNAMA


Pengarang :