AGENDANASIONAL

Polis tahan sembilan individu disyaki terlibat sindiket tipu pelaburan

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis telah menahan sembilan individu berusia lingkungan 23 hingga 62 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan Skim Pelaburan Banker Capital (BKC) dan Skim Pelaburan Wow Exchange OU membabitkan kerugian hampir RM1.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kesemua suspek ditahan pada Sabtu lepas dalam Operasi Nuri di sekitar Kedah, Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata bagi BKC, sindiket itu akan memperdaya mangsanya dengan meyakinkan mereka bahawa wang pelaburan dilaburkan di dalam dan luar negara serta menjanjikan pulangan tinggi dengan kadar keuntungan antara 100 hingga 400 peratus.

“Beberapa pakej ditawarkan bermula daripada pakej ‘Trainee’ yang bernilai serendah USD100 hingga ke pakej ‘Capitalist’ yang bernilai USD10,000,” menurutnya dalam kenyataan.

Mohd Kamarudin berkata Wow Exchance OU pula merupakan skim pelaburan berasaskan mata wang kripto yang menyaksikan suspek mempromosikan platform mata wang kripto dan juga e-dompet yang dinamakan sebagai token WOWX.

“Token WOWX itu dikatakan berdaftar dan berpusat di Singapura melalui syarikat Wow Global Pte Ltd serta dalam proses untuk mendapatkan lesen daripada kerajaan Singapura.

“Pelabur diarahkan untuk membuat bayaran modal pelaburan ke beberapa akaun bank oleh sindiket namun akhirnya mangsa tidak memperoleh apa-apa pulangan daripada modal yang dikeluarkan untuk pelaburan,” katanya sambil menambah setakat ini, polis sudah membuka sembilan kertas siasatan terhadap sindiket yang menyasarkan warga tempatan itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya skim pelaburan yang diiklankan di media sosial seperti Facebook, Youtube, Wechat, WhatsApp sememangnya mudah menarik perhatian kerana dijanjikan keuntungan tinggi selain pakej mampu milik lebih-lebih lagi ketika ramai yang terjejas ekonomi akibat wabak Covid-19.

Mohd Kamarudin menasihati orang ramai agar melakukan semakan dengan agensi kerajaan berkaitan bagi mengetahui status skim pelaburan dan syarikat yang menawarkannya melalui pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

“Sila hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 atau WhatsApp ke CCID Infoline di talian 013-2111 222 untuk menyalurkan maklumat atau aktiviti jenayah komersial yang berlaku di persekitaran anda,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :