AGENDANASIONAL

Polis tumpas sindiket judi dalam talian libatkan remaja bawah umur

SERDANG, 26 JUN: Sindiket perjudian dalam talian dan pertaruhan bola sepak UEFA EURO 2020, yang dipercayai baharu tiga hari beroperasi, tumpas selepas polis menyerbu sebuah pangsapuri di Seri Kembangan pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A Anbalagan berkata dalam serbuan pada kira-kira 9 malam itu, sembilan individu ditahan termasuk tiga remaja bawah umur dan seorang lelaki warga China yang visa pelawatnya tamat tempoh.

Beliau berkata sindiket itu mempromosi perjudian menerusi aplikasi Line dan beberapa laman sesawang dengan menawarkan pertaruhan bermula RM50 hingga RM10,000 serta keuntungan boleh mencecah RM100,000 sehari.

“Siasatan awal mendapati mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 29 tahun ini dibayar RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan mendapat pekerjaan melalui laman sosial,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Katanya tiga remaja terbabit iaitu seorang perempuan dan dua lelaki dibebaskan hari ini dengan jaminan polis manakala yang lain direman enam hari sehingga Ahad ini.

Anbalagan berkata semakan mendapati dua suspek yang ditahan juga mempunyai rekod jenayah termasuk dadah.

Dalam perkembangan lain, empat lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan dalam dua serbuan di Petaling Jaya pada Ahad selepas disyaki terbabit dalam enam kes samun melibatkan kedai 24 jam di sekitar Serdang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata kesemua suspek, yang merupakan anggota ‘Geng Apoi’ dipercayai aktif melakukan aktiviti jenayah samun sejak enam bulan lepas.

“Mereka menggunakan modus operandi sebagai pembeli dan apabila melihat keadaan dirasakan sesuai, mereka akan melakukan samun secara berkumpulan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :