Selangorkini
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad (tengah) beramah mesra bersama warga emas yang hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UiTM Puncak Alam pada 7 Jun 2021. Foto – BERNAMA
AGENDA SELANGOR

PPV UiTM Puncak Alam mampu urus 5,000 suntikan vaksin sehari

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam di sini mampu mengurus sehingga 5,000 pemberian vaksin sehari secara berperingkat.

Pengarah hospital kampus itu berkata buat permulaan pihaknya menetapkan 500 individu disuntik sehari di PPV itu yang beroperasi secara rasmi hari ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, PPV berkonsepkan hibrid dilaksana dalam tempoh empat bulan hingga akhir Oktober ini membabitkan pemberian vaksin secara terus dan pandu lalu yang dijangka bermula dua minggu lagi.

“Konsep pandu lalu lebih memudahkan kerana penerima hanya perlu duduk dalam kereta, namun faktor cuaca perlu diambil kira, sekiranya hujan proses pemvaksinan mungkin sedikit sukar selain penerima perlu menjalani pemerhatian sekitar 15 hingga 30 minit,” kata Prof Dr Sazzli Kasim ketika ditemui.

Sementara itu, beliau yang juga ketua projek PPV memaklumkan untuk peringkat awal, antara 40 hingga 50 peratus penerima vaksin adalah warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) berusia lebih 60 tahun yang menerima vaksin Sinovac.

Selain institusi itu, dua lagi universiti awam turut menyediakan perkhidmatan sama iaitu Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini memaklumkan perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di PPV berskala mega di UiTM Kampus Puncak Alam akan mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi.


Pengarang :