Kerajaan Negeri melalui Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 menyediakan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk yang terjejas susulan wabak Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program Mesra Rakyat manfaat 10,000 penduduk Bandar Utama

SHAH ALAM, 15 JUN: Seramai 10,000 penduduk Bandar Utama yang terjejas akibat perebakan Covid-19 dijangka menerima manfaat menerusi Program Mesra Rakyat, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin berkata langkah Kerajaan Negeri meningkatkan had perbelanjaan Ahli Dewan Negeri (ADN) kepada RM100,000 membolehkan lebih ramai dibantu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Kebiasaannya kita beri bantuan makanan bernilai RM50 atau lebih RM100. Bantuan lebih RM100 diberikan kepada mereka yang positif Covid-19 dengan tambahan vitamin C,” katanya kepada SelangorKini semalam.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah berkata peruntukan tambahan itu membolehkan bantuan kepada golongan terkesan diberi secara menyeluruh.

“Ramai penduduk kawasan saya hilang pendapatan atau hilang pekerjaan dan secara tidak langsung bilangan golongan berpendapatan rendah (B40) kian bertambah.

“Setakat ini seramai 700 individu menerima bantuan setiap hari Jumaat manakala 300 keluarga dibantu secara bulanan menerusi inisiatif bank makanan,” katanya.

Bagi ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri, pihaknya akan meneliti jenis bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat.

“Peruntukan ini satu keperluan mendesak kerana ramai yang terkesan kerana kehilangan sumber pendapatan dan bantuan ini salah satu cara meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri melaksanakan 14 inisiatif di bawah strategi pertama Pakej Kita Selangor 2.0 bagi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dan antaranya meningkatkan perbelanjaan Program Mesra Rakyat setiap ADN kepada RM100,000.


Pengarang :