Vaksin jenis Sinovac yang dibekalkan oleh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) untuk diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU Medical Centre Shah Alam ketika tinjauan pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Program Vaksin Selangor cepatkan proses suntikan rakyat

SHAH ALAM, 30 JUN: Program Vaksin Selangor (Selvax) dilancarkan bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha meliputi Selvax Komuniti dengan mengenal pasti kumpulan sasaran dan Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

“Program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

“Manakala Selvax Industri merupakan sebuah program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja (dua juta dos),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pengumuman secara maya hari ini, beliau berkata seramai 3.97 juta atau 83.42 peratus penduduk negeri ini sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Bagaimanapun, jelasnya, hanya 851,118 individu menerima dos pertama setakat kelmarin, manakala hanya 270,221 orang lengkap dua dos vaksin.

“Angka yang rendah ini disebabkan bekalan vaksin yang terhad. Masalah ini bukan hanya berlaku di Selangor dan Malaysia tetapi juga rantau Asia Tenggara dan Afrika,” kata Amirudin.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Pada 15 Jun, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya pada September.

Khairy Jamaluddin turut menjangka seramai 165,000 penduduk Selangor divaksin menjelang Ogos berikutan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin berskala besar dan sederhana.


Pengarang :