Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin AstraZeneca yang mengutamakan OKU dan warga emas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program Vaksin Selangor, sebanyak 1,254 pusat suntikan dibuka

SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak 1,254 pusat pemberian vaksin (PPV) terlibat menjayakan program Vaksin Selangor (Selvax), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah merangkumi pembukaan PPV mega (lima), PPV dewan komuniti (enam), PPV Klinik Selcare (15) dan PPV klinik panel (1,228) akan mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok.

“Sekitar 5,000 tenaga kerja perubatan dan bukan perubatan bertugas di PPV mega, dewan komuniti dan Klinik Selcare. Dengan pelaksanaan Selvax, kita menyasarkan suntikan sehingga 43,500 dos vaksin sehari.

“Apabila menerima bekalan tambahan menerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin, kita jangkakan jumlah suntikan meningkat kepada 135,000 dos pada Julai dan 165,000 dos pada Ogos,” katanya ketika mengumumkan Selvax secara maya hari ini.

Beliau berkata maklumat penerima Selvax diselaraskan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan tiada pertindihan janji temu serta pensijilan vaksin.

“Saya juga suka mengingatkan mereka yang beragama Islam, hukum mendapatkan vaksin sudah dipersetujui harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan disahkan halal,” katanya.

Pada 9 Jun, Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 15 Jun memutuskan tumpuan vaksin diberikan kepada golongan rentan seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

 

 


Pengarang :