Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya pada 12 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Promosi rebat ke pusat vaksin melalui kumpulan WhatsApp masjid

SHAH ALAM, 23 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menggunakan kumpulan WhatsApp komuniti masjid bagi mempromosi rebat RM20 ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata kaedah itu bagi memastikan golongan berusia 50 tahun ke atas mendaftar inisiatif berkenaan.

“Kita guna pelbagai kaedah untuk tarik kumpulan itu seperti menyebarkan promosi di kumpulan sembang WhatsApp komuniti masjid dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor.

“Diharap lebih ramai sedar bantuan Kerajaan Negeri ini, sekarang pendaftaran agak perlahan kerana selepas dibuka Ahad lalu kita hanya menerima sekitar 70 permohonan,” katanya ketika dihubungi.

Orang ramai boleh memohon rebat tersebut bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab mulai 20 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tawaran khusus buat warga Selangor sah untuk perjalanan mulai 1 Julai hingga 30 September.

Inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bakal memanfaatkan hampir 50,000 penduduk negeri ini.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan pakej bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan tersebut memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Layari www.platselangor.com dan klik Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk pendaftaran.


Pengarang :