Dr Fahmi Ngah (kiri) memberi taklimat kepada anggota penguat kuasa di Pusat Operasi C5i Smart Selangor, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pusat kawalan pintar tingkat kecekapan kutip sampah, urus bencana

SHAH ALAM, 19 JUN: Kecekapan beberapa perkhidmatan harian termasuk pengurusan sampah domestik semakin bertambah melalui pemantauan Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC).

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit berkata pusat kawalan pintar yang beroperasi awal tahun ini membantu meningkatkan kutipan sampah sebanyak 30 peratus.

Menurut Dr Fahmi Ngah, kecekapan perkhidmatan lain seperti Bas Smart Selangor naik 80 peratus selain tempoh pengurusan 59 kejadian bencana turun 75 peratus.

“Contohnya bagi pemantauan lori sampah dan Bas Smart Selangor, kita memantau aduan pengguna selain pergerakan data masa sebenar berdasarkan alat pengesanan lokasi (GPS) yang wajib dipasang.

“Kalau lori atau bas tidak bergerak mengikut jadual, pusat kawalan akan memberi peringatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah panggilan telefon berkaitan Covid-19 diuruskan Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri juga lebih teratur dengan purata 60 panggilan sehari.

SSOC yang beroperasi di Dewan Jubli Perak, bersebelahan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dibangunkan seiring sasaran Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang 2025.

Pusat itu menempatkan beberapa agensi penting melibatkan operasi harian seperti bas, kutipan sisa pepejal, pengurusan bencana dan keselamatan.

Selain itu, SSOC berupaya memberi maklum balas serta maklumat terkini berhubung usaha Kerajaan Negeri menangani Covid-19.


Pengarang :