Dr Siti Mariah Mahmud ditemui selepas menyerahkan kit pembasmi Covid-19 secara pandu lalu kepada wakil taska seluruh Selangor di Foyer Jubli Perak, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 23 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pusat vaksin kecil diwujud mudahkan rakyat terima suntikan

SHAH ALAM, 25 JUN: Pusat pemberian vaksin (PPV) bersaiz kecil akan diwujudkan lebih banyak di Selangor bagi memudahkan rakyat menerima suntikan pelalian Covid-19.

EXCO kesihatan awam berkata berkata keputusan dibuat selepas mendapati 25 peratus individu tidak menghadiri janji temu suntikan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Lokasi pemilihan PPV mega tanpa melihat kepadatan lokaliti menyebabkan sambutan terhadap vaksin mengecewakan kerana rakyat tiada akses mudah (untuk datang).

“Jadi melalui perbincangan belanjawan, Selangor akan wujudkan lebih banyak PPV kecil. Rakyat tak perlu pergi jauh untuk ambil suntikan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada program Juru Bicara Rakyat: ‘Kad Laporan PH: Memerangi Covid-19’ disiarkan di Facebook semalam.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap peratusan rendah pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini iaitu setakat Selasa lalu hanya 11.2 peratus menerima dos pertama manakala telah melengkapkan dua dos 3.6 peratus.

“Ini sangat mengecewakan. Bayangkan apa kami hadap sebagai negeri paling padat dan merupakan penyumbang utama ekonomi negara,” katanya.

Pada 8 Jun lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.


Pengarang :