AGENDANASIONAL

Raja-Raja Melayu adakan perbincangan khas Rabu depan

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mempengerusikan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, 16 Jun ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perbincangan khas itu adalah berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 12 Jan lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah kali kedua diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019.

Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu adalah pada 25 Okt tahun lepas.

-BERNAMA


Pengarang :