Sel kanser
AGENDANASIONAL

Rawatan imunoterapi, kaedah pilihan rawat kanser

MELAKA, 28 JUN: Jika sebelum ini rawatan imunoterapi merupakan kaedah efektif merawat kanser kulit atau melanoma, namun ia kini digunakan secara meluas untuk pelbagai penyakit kanser antaranya paru-paru dan payudara.

Pakar Onkologi Hospital Pantai Ayer Keroh Dr Abel Zachariah berkata imunoterapi merupakan rawatan alternatif baharu bagi merawat pesakit kanser selain rawatan konvensional melalui kaedah kemoterapi yang kerap digunakan bagi mengawal sel kanser daripada merebak.

Beliau berkata sekiranya imunoterapi digandingkan bersama kemoterapi untuk merawat pesakit kanser misalnya kanser paru-paru, ia boleh memberi kesan lebih efektif bagi mengawal sel kanser seterusnya pesakit dapat menikmati jangka hayat yang lebih panjang.

“Kedua-dua rawatan ini bertindak balas dengan sel kanser dalam cara berbeza. Imunoterapi merupakan satu ubat khas untuk memperkuatkan atau mengubah suai sistem imun tubuh pesakit agar dapat bertindak balas dengan serangan kanser manakala kemoterapi menyerang apa-apa sel berganda yang membahagi dalam tubuh dengan cepat.

“Kesan sampingan bagi rawatan imunoterapi biasanya lebih rendah atau tidak seteruk kemoterapi, dan ada kesan sampingan yang berbeza daripada kemotherapi. Pesakit yang menggunakan rawatan konvensional itu mudah letih dan boleh mengalami penurunan jumlah sel darah merah, sel darah putih dan trombosit,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai Pakar Onkologi di Shrewsbury, United Kingdom, pulang ke tanah air untuk menyambung khidmat sebagai pakar di Hospital Pantai Ayer Keroh, sejak 3 Mei lepas.

Dr Zachariah berkata konsep rawatan imunoterapi juga berbeza dengan kemoterapi iaitu kadangkala dalam proses rawatan imunoterapi, sel kanser dilihat seolah-olah tidak berkurang atau kanser semakin membesar tetapi hakikatnya ia berlaku sebaliknya kerana sistem imunisasi sedang bertindak balas atau menyerang sel kanser tersebut.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya, menerusi rawatan imunoterapi, kesan ke atas sel kanser dapat dikawal dalam tempoh yang agak panjang selepas rawatan dihentikan seketika berbanding melalui rawatan kemoterapi.

Katanya bagaimanapun, keberkesanan rawatan imunoterapi terhadap kanser yang dihidapi bagaimanapun bergantung pada daya ketahanan sistem imunisasi seseorang pesakit itu.

“Pesakit kanser perlu mendapatkan pandangan atau nasihat daripada pakar onkologi mereka dan ia memerlukan beberapa ujian klinikal ke atas tumor atau sel kanser tersebut untuk melihat kesesuaian rawatan itu sebelum ia dilakukan ke atas mereka.

“Di Hospital Pantai Ayer Keroh, rawatan imunoterapi telah mula digunakan kira-kira lima tahun lepas namun saya percaya ia akan menjadi alternatif pilihan pesakit pada masa hadapan,” katanya menambah disebabkan kos rawatan yang agak tinggi berbanding kemoterapi, menyebabkan kaedah ini kurang mendapat sambutan.

— BERNAMA


Pengarang :