Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan MDKS Bandar Baru, Kuala Selangor pada 6 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Risau risiko jangkitan Covid-19, pesakit buah pinggang buat saringan

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19 kalangan individu berpenyakit kronik, seorang pesakit buah pinggang nekad untuk menjalani saringan.

Meskipun terpaksa berkerusi roda, bekas operator kilang, Kamaruzaman Jantan, 54 tetap hadir ke Saringan Komuniti di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor di sini dengan dibantu isterinya Jamilah Awang Kechik, 44.

“Sejak menghidap penyakit ini tahun lepas, saya berulang-alik dari pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Kuala Selangor tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan. Jadi, saya risau apabila memikirkan risiko jangkitan kerana sering keluar dan bertemu dengan pesakit lain.

“Apatah lagi golongan seperti kami, jangkitan mudah berlaku walaupun tidak mengalami sebarang gejala, malah ramai yang sudah menjadi mangsa korban akibat virus berbahaya ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bapa kepada tujuh anak turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan inisiatif percuma untuk rakyat negeri ini selain memuji kecekapan petugas kesihatan Klinik Selcare semasa mengendalikan proses saringan.

“Alhamdulillah, saringan ambil masa kurang 10 minit dan petugas memberi layanan sangat baik. Saya gesa orang ramai manfaatkan peluang ini kerana kita sedang berperang dengan musuh yang tidak nampak,” katanya yang menetap di Taman Rajawali, Bukit Rotan di sini.

Bagi Mariana Joli, 42, dia membawa enam anak membuat ujian calitan untuk mengetahui status kesihatan masing-masing selepas mereka menjadi kontak rapat kepada suami yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sejak tiga hari lalu akibat Covid-19.

“Biarpun tiada gejala, atas nasihat keluarga terdekat, saya nekad ajak anak-anak datang naik satu kereta dan bertolak dari Kapar, Klang pada jam 8 pagi dan melepasi dua sekatan jalan raya selepas tunjuk pendaftaran saringan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” kata suri rumah itu.

Sementara itu, pekerja kilang, Tamilchelvan Ayakanu, 53, memanfaatkan cuti diberi majikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh untuk menjalani saringan secara sukarela.

 


Pengarang :