AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM370,000 kutipan tabung Palestin beli ambulans, bantuan makanan

SHAH ALAM, 25 JUN: Kutipan RM370,000 daripada fasa pertama Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan mula disalurkan untuk membeli sebuah ambulans dan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata dana itu akan disalurkan Perbendaharaan Kewangan Negeri kepada Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang menjalankan misi berkenaan.

 

Jelasnya, kempen tabung itu telah dilanjutkan sehingga 31 Julai susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kebanyakan penyumbang tidak dapat menjalankan transaksi ketika ini.

“Sasaran jumlah kutipan terkini menghampiri setengah juta (RM0.5 juta) manakala kutipan berjaya dikumpul berjumlah RM370,000,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, fasa seterusnya membabitkan bantuan pembelian tiga buah trak bantuan Selangor, bahan bakar, set generator dan bantuan makanan fasa dua.

Kerajaan Negeri melancarkan tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan lagi susulan PKP.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh membuatnya melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.


Pengarang :