Orang ramai menunggu giliran untuk membuat saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor pada 7 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan Covid-19 fasa tiga, lapan DUN catat kes lebih lima peratus

SHAH ALAM, 28 JUN: Semua lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat Program Saringan Komuniti Covid-19 fasa tiga mencatatkan kes disyaki positif melebihi lima peratus.

DUN Seri Setia dan Taman Medan merekodkan 5.76 peratus kes disyaki positif; Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer (8.57); Kajang (6.48) manakala Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa (11.51).

Pengurus Klinik Selcare,  Mohd Noor Md Nasir berkata secara keseluruhan seramai 5,582 individu menjalani saringan anjuran Kerajaan Negeri dengan 446 daripadanya disyaki positif.

“Susulan itu, saringan bersasar dilaksanakan di lokasi penyumbang kepada peratusan kes. Usaha ini tidak tertumpu lokasi di bawah lapan DUN sahaja sebaliknya turut melibatkan lokasi yang ada peningkatan kes,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Program yang mula diperkenal tahun lalu telah menyaring lebih 100,000 penduduk menerusi dua fasa.

Fasa pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu manakala fasa kedua menyaring 97,565 peserta di 56 DUN sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun.


Pengarang :