Dr Siti Mariah Mahmud. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Saringan DUN Seri Serdang kekang penularan Covid-19 dalam komuniti

SERI KEMBANGAN, 25 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menjalankan program saringan bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya di sini berikutan rantaian jangkitan Covid-19 sukar diputuskan.

Ahli Dewan Negerinya Dr Siti Mariah Mahmud berkata ujian percuma ditawarkan pusat khidmat bagi mengekang penularan wabak dalam komuniti sekali gus mengelak peningkatan kes kematian.

Katanya kes Covid-19 membabitkan penduduk kawasan sekitar sentiasa ada, malah lapan kematian direkodkan di Serdang Jaya sejak November tahun lepas.

“Diharap penduduk menjalani ujian ini supaya kes positif dapat dikesan, seterusnya kuarantin di rumah dengan dibekalkan kit pemantauan kendiri,” katanya ditemui selepas meninjau program tersebut hari ini.

Kira-kira 1,000 individu disasar menyertai saringan menggunakan kaedah ujian pantas antigen (RTK-Ag) bermula jam 9 pagi hingga 6 petang ini, dengan 400 peserta membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Petugas terlibat akan berusaha memastikan sasaran ini dicapai memandangkan cabaran utama adalah membawa golongan berusia menjalani saringan,” katanya.


Pengarang :