Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diberi penerangan berhubung penggunaan kit pemantauan kendiri di rumah bagi pesakit Covid-19 oleh petugas kesihatan Klinik Selcare ketika meninjau program Saringan Komuniti percuma di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak pada 20 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti: 2,702 sampel diambil, 196 kes disyaki positif

SHAH ALAM, 21 JUN: Sebanyak 2,702 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil sepanjang dua hari program Saringan Komuniti Covid-19 di lima Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah itu 1,435 sampel diuji daripada penduduk sekitar DUN Seri Setia dan Taman Medan manakala selebihnya Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer.

Pengurus Klinik Selcare berkata keputusan mendapati 196 kes atau enam peratus disyaki positif wabak dan perlu menjalani saringan kit ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan.

“Kebanyakan hadir mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, namun majoriti kes suspek positif berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun yang dikesan tidak mengalami sebarang gejala,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan Saringan Komuniti fasa ketiga dengan menumpukan kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Saringan diteruskan di DUN Kajang pada 26 Jun manakala Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

Saringan menggunakan RTK-Ag membolehkan pengesanan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.

Sejak diperkenal tahun lalu, Kerajaan Negeri menyaring penduduk menerusi program fasa pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa kedua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.


Pengarang :