Petugas Kesihatan Selcare memasukkan data sampel untuk dianalisis ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti bantu kesan kontak rapat kes kluster

SHAH ALAM, 11 JUN: Fasa ketiga Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor akan diperluaskan di kawasan tercetus kluster bagi pengesanan kontak.

EXCO kesihatan awam berkata langkah itu bagi membantu pusat kesihatan daerah yang sedang mengendalikan banyak kes jangkitan Covid-19.

“Kita lakukan secara manual dengan melihat kes indeks dan kontak rapat serta generasi jangkitan, kita akan membuat pengumuman sesiapa yang terbabit datang melakukan saringan percuma.

“Langkah ini dapat mengesan kontak rapat yang mungkin membawa wabak tetapi tiada gejala,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara bersama Media Selangor bertajuk ‘Langkah terbaik percepat proses imunisasi di Selangor’ disiarkan secara langsung menerusi Facebook hari ini.

Siti Mariah berkata saringan fasa seterusnya turut membabitkan kawasan kilang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) merekodkan lebih lima peratus jangkitan Covid-19 sebelum ini.

“Kita akan buat ujian susulan ke kawasan terbabit dan lihat sama ada kes masih kekal tinggi atau sebaliknya.

“Dari situ kita boleh merancang tindakan perlu dilakukan untuk kurangkan kes jangkitan terutama pembawa senyap wabak,” jelasnya.

Di bawah Pakej Kita Selangor 2.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti.


Pengarang :