Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti fasa dua dijangka bermula minggu depan

HULU SELANGOR, 8 JUN: Saringan Komuniti fasa dua untuk kawasan mencatat kes disyaki positif Covid-19 lebih lima peratus dijangka bermula minggu hadapan atau hujung bulan ini.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata setakat ini beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dikenal pasti namun masih dibincangkan lebih terperinci bagi memastikan matlamat program tercapai.

“Konsep kali ini sedikit berbeza kerana kita mahu cari punca penularan. Pada fasa dua ini, kita akan lihat sama ada peratusan kes menurun atau sama (lima peratus).

“Jika masih sama, saringan fasa ketiga pula dilaksana dengan tumpuan seperti taman perumahan atau bangunan pangsapuri. Kita mungkin tidak ketuk rumah ke rumah sebaliknya hanya kawasan kediaman sahaja, namun masih dibincangkan,” kata Dr Muhammad Farhan Rusli ketika ditemui.

Dr Muhammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Setakat ini, lapan DUN merekodkan kes disyaki positif melebihi paras lima peratus iaitu Kajang (8.08), Hulu Kelang (8.06), Bukit Antarabangsa (7.58), Sungai Tua (5.63), Gombak Setia (8.24), Taman Templer (7.99), Seri Setia (6.99) dan Taman Medan (5.29).

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri.


Pengarang :