Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 10 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Saringan Komuniti fasa dua selesai, lebih 97,000 individu diuji

SHAH ALAM, 12 JUN: Fasa kedua Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai dengan 97,565 warga Selangor diuji setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah itu, lebih kurang empat daripada setiap 100 yang disaring atau 3,342 individu didapati berkemungkinan positif wabak.

“Terima kasih warga Selangor sekalian yang hadir dan tidak lupa para petugas serta agensi terlibat sepanjang program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar ini.

“Teruskan mengambil langkah proaktif dan sentiasa amalkan kawalan kendiri. Bersama kita mampu bebas daripada ancaman Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Menurutnya, saringan fasa tiga akan diteruskan di kawasan yang mencatat kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Pada Khamis, Amirudin berkata lebih 100,000 penduduk Selangor menjalani ujian percuma itu menerusi dua fasa sejak diperkenalkan tahun lalu.

Fasa pertama dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu.

 

 

 

 


Pengarang :