Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Saringan Komuniti fasa tiga dicadang di lapan DUN kes tinggi

SHAH ALAM, 15 JUN: Saringan Komuniti fasa ketiga anjuran Kerajaan Selangor dicadangkan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatatkan kes Covid-19 tinggi.

Pengurus Klinik Selcare berkata pihaknya mencadangkan program itu dibuat di Seri Setia dan Taman Medan Sabtu ini diikuti keesokannya di Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer manakala Kajang pada 26 Jun selain Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa 27 Jun.

Menurutnya, perkara tersebut sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri yang akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Pemilihan kawasan berdasarkan keputusan saringan sebelum ini yang menunjukkan lokasi terbabit merekodkan kadar jangkitan lebih lima peratus.

“Kita berharap lebih ramai tampil untuk membuat saringan dan kaedah pendaftaran sama seperti fasa kedua,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi di sini hari ini.

Di bawah Pakej Kita Selangor 2.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, program secara percuma menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.

Fasa pertama dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu manakala 97,565 peserta diuji di 56 DUN sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu bagi fasa kedua.


Pengarang :