Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Saringan Komuniti fasa tiga dijangka bermula Sabtu depan

SHAH ALAM, 13 JUN: Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor melibatkan kawasan mencatatkan kes Covid-19 tinggi dijangka bermula 19 Jun ini.

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata program dirancang selama empat hari dengan beberapa lokasi dijalankan secara serentak bermula 9 hingga 4 petang.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Bagaimanapun perancangan ini masih bergantung kepada keputusan Kerajaan Selangor.

“Mengikut jadual dirancang, hari pertama nanti melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Noor berkata pihaknya menyasarkan penyertaan lebih ramai memandangkan tahap kesedaran orang awam semakin tinggi.

“Kita akan saring seramai mungkin dan tidak hadkan jumlah yang datang. Kali ini kita harap peratusan individu berkemungkinan positif berkurang berbanding fasa dua,” katanya.

Khamis lalu, Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa tiga diteruskan melibatkan kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, saringan secara percuma menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.

Fasa pertama dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu manakala 97,565 individu diuji sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu bagi fasa dua.


Pengarang :