Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan percuma fasa tiga tumpuan individu kontak rapat

PETALING JAYA, 19 JUN: Jumlah peserta Saringan Komuniti fasa ketiga dijangka menurun berbanding penyertaan dalam dua fasa sebelum ini, kata pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata ia berikutan kebanyakan peserta ujian Covid-19 kali ini dalam kalangan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

“Pemerhatian hari pertama mendapati kebanyakan peserta diuji merupakan kontak rapat ahli keluarga atau individu terdekat yang disahkan positif.

Mohd Noor Md Nasir

“Walaupun pergerakan orang ramai terhad dan hanya duduk di rumah, risiko jangkitan masih tinggi kerana ada sektor tidak ditutup selain perniagaan berjalan seperti biasa. Kes harian juga masih kekal tinggi,” katanya ketika ditemui.

Saringan fasa tiga bermula hari ini melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan dan Seri Setia di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan.

Sementara itu, Mohd Noor berkata program sama yang diadakan esok di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak merupakan saringan pertama diadakan sehingga malam.

Menurutnya, program mulai 8 pagi hingga 9 malam turut menyasarkan 9,000 peserta sekitar DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer.

“DUN terbabit merekodkan jumlah penyertaan tinggi ketika fasa dua. Jadi, kita bersedia menyaring seramai mungkin dan harap peratusan individu berkemungkinan positif menurun berbanding sebelum ini,” katanya.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan fasa tiga melibatkan kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu.


Pengarang :