Petugas Kesihatan Selcare memujuk seorang kanak-kanak melakukan saringan Covid-19 ketika Saringan Komuniti di Dewan Resak, Subang Perdana Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sawan antara sembilan tanda kanak-kanak dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 12 JUN: Terkena sawan merupakan salah satu daripada sembilan tanda menunjukkan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 berbanding orang dewasa.

Menerusi info grafik Kementerian Kesihatan Malaysia di Facebook, antara tanda lain ialah mangsa mengalami demam, batuk, muntah atau cirit-birit yang semakin teruk.

Manakala, simptom lain lebih kurang seperti yang dialami orang dewasa seperti kesukaran bernafas, sakit dada atau perut serta bibir atau jari menjadi kebiruan.

Selain itu, mangsa juga kurang kencing, tangan dan kaki menjadi sejuk, kelesuan atau tidak aktif serta tidak boleh mengambil makanan atau minuman melalui mulut.

Bagi mereka yang mengalami gejala tersebut hendaklah mendapatkan rawatan segera, menghubungi klinik kesihatan berdekatan atau talian 999.

Pada 3 Jun, ketua pengarah kesihatan melaporkan kes kritikal dan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun dilaporkan meningkatkan tahun ini berbanding tahun lepas.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kes kematian dilaporkan sepanjang tahun lepas namun bilangan sama direkodkan dalam tempoh lebih singkat pada tahun ini iaitu dalam tempoh lima bulan pertama.

Beliau juga menasihati semua pihak terutama ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting bagi melindungi golongan yang mempunyai imuniti rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar daripada wabak.


Pengarang :