Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Gombak pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sebanyak 21 daripada 23 kluster baharu libat tempat kerja dan komuniti

SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak 21 daripada 23 kluster baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini melibatkan tempat kerja dan komuniti, kata ketua pengarah kesihatan.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tempat kerja mencatatkan 13 kluster, komuniti lapan kluster serta kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan masing-masing satu kluster.

Katanya menerusi kenyataan, terdapat enam kluster tempat kerja di Selangor melibatkan Industri Jalan Ikan Duyung di Klang dengan 37 kes, Industri Subang Utama Enam di Klang dan Petaling (28), Jalan PPS Satu di Klang (12), Industri Jalan Masjid Batu Sembilan di Kuala Langat dan Klang (186).

Manakala di Kuala Lumpur, terdapat tiga kluster iaitu Perindustrian 33 di Kepong (13), Pasar TTDI di Kepong dan Cheras (11), Jalan Prima Impian di Kepong (26) dan Jalan Thean Teik di Timur Laut, Pulau Pinang (37).

Johor pula merekodkan empat kluster iaitu Perindustrian Murni Empat di Kulai (36), Jalan Penaga Industri di Johor Bahru dan Kota Tinggi (35), Batu 23 Choh di Kulai, Pontian dan Batu Pahat (6), Perindustrian Rami Satu di Muar (22) manakala Industri Bidor di Batang Padang, Perak (8).

Beliau memaklumkan tiga kluster komuniti dikesan di Kelantan melibatkan Kampung Pangkal Jetas di Machang (19), Jalan 14/44 Padang Tembak di Kota Bharu (16), Kampung Nibong Lemal di Pasir Mas (8).

Sarawak juga terdapat tiga kluster komuniti iaitu Tema Saan di Tebedu (42), Po AI di Sri Aman (106), Blimbing di Bau (35) serta Parit Keroma di Muar, Johor (11) dan Limbawang di Beaufort, Sabah (30).

Kluster kumpulan berisiko tinggi dikesan di Jalan Emas Putih di Klang (8) manakala pendidikan di Meranti Indah Bera, Pahang (16).

Jumlah jangkitan Covid-19 negara kekal pada paras 6,000 kes dengan 6,276 dicatat hari ini berbanding 6,437 semalam.

 


Pengarang :