AGENDANASIONAL

Sektor pelancongan terus dibantu, peruntuk lebih RM2.5 juta

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Selangor meneruskan bantuan kepada sektor pelancongan negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana terbabit sebagai usaha membantu kelangsungan industri berkenaan yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri bersetuju memberi geran bantuan aktiviti pelancongan, baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital serta bantuan kewangan sekali bayar (one-off) kepada persatuan pelancongan negeri.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.55 juta,” katanya ketika membentangkan pakej bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

November tahun lalu, seramai 553 penggiat sektor pelancongan di Selangor terdiri pemandu pelancong berlesen, pengusaha inap desa dan Hos Komuniti Selangor menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000.

Kerajaan Negeri turut melancarkan 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu pada penghujung tahun lalu.

Diikuti awal Februari tahun ini, Amirudin mengumumkan penguatkuasaan pengecualian duti hiburan bermula 18 Mac ini hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Beliau turut memaklumkan cukai itu dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.


Pengarang :