Pekerja Dasar Jati Sdn Bhd melalukan kerja elektrik di sebuah premis. Foto Facebook Dasar Jati Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor Advance bantu bayar gaji pekerja, terus operasi syarikat

SHAH ALAM, 15 JUN: Pandemik Covid-19 yang menular sejak awal tahun lalu menjejaskan banyak syarikat termasuk Dasar Jati Sdn Bhd yang beroperasi di Bangi.

Masalah aliran kewangan menyebabkan pengarah syarikat itu, Mohd Anfal Mohd Yusof dan rakan kongsinya hampir membuat keputusan untuk membayar gaji 25 pekerja secara berperingkat bukan sekali bayar seperti lazimnya.

Namun pengenalan inisiatif Selangor Advance yang menyediakan dana RM100 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin fasa dua diumumkan Jun tahun lalu memberi sinar kepada syarikat itu.

Beliau berkata sebaik sahaja dilancarkan pihaknya terus memohon bagi mendapatkan pembayaran kerja-kerja membangunkan sistem Selangor Tutor secara dalam talian untuk Yayasan Selangor.

“Dana diluluskan dalam tiga minggu minggu sahaja, dapat kami bayar gaji pekerja dengan penuh dan syarikat terus beroperasi.

“Inisiatif Selangor Advance baik kerana mempercepatkan pembayaran, kami sokong diteruskan tetapi harus ada tambah baik antaranya menyediakan modal pusingan awal kepada syarikat mendapat projek Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi.

Selangor Advance berkonsepkan Tawarruq diperkenal pada Jun tahun lalu dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan kesan ekonomi akibat pandemik.

Pada Rabu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana tambahan sejumlah RM200 juta untuk program Selangor Advance demi mengukuhkan daya saing perniagaan dam menyelamatkan syarikat dan pekerja.

Peruntukan tersebut terkandung di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.


Pengarang :