Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran Pameran Penerbangan (SAS) 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor bangkit jadi hab utama perniagaan Asean

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Kebangkitan semula Selangor untuk menjadi hab perniagaan Asean adalah ibarat sejarah yang berulang kembali.

Negeri itu yang dianggap sebagai destinasi pilihan bagi pemain pembuatan dan perkhidmatan di dalam dan luar negara telah menjadi kuasa ekonomi di Malaysia sejak lebih sedekad lalu, dan ini bukan berlaku secara kebetulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris berkata selama bertahun-tahun ini, Selangor telah berjaya menarik pelaburan utama ke dalam negara dan negeri itu sendiri.

Justeru, katanya, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh mengesahkan lagi statusnya sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelabur, meskipun pelbagai cabaran yang dihadapi akibat daripada pandemik Covid-19.

“Selain pencapaian dalam rangking dunia, ekonomi dan pelaburan, Selangor juga terus membangunkan ekosistem yang baik untuk menarik industri membuka operasi mereka di negeri itu,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama, baru-baru ini.

Dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 6.7 peratus pada 2019, Selangor merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara, yang tumbuh 4.3 peratus pada tahun itu.

Pada 2020, Selangor terus merekodkan pertumbuhan ekonomi — walaupun pada kadar yang perlahan — 2.09 peratus di tengah-tengah penguncupan KDNK negara sebanyak 5.6 peratus yang disebabkan oleh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, Selangor juga memiliki kira-kira 3.6 juta tenaga kerja yang berkemahiran dan menguasai pelbagai bahasa.

“Ini merupakan satu lagi kelebihan kepada syarikat asing, terutamanya bagi mereka yang merancang menggunakan Selangor sebagai pintu masuk mereka ke pasaran Asean,” katanya.

Selain itu, Hasan Azhari berkata Selangor juga menawarkan rantaian nilai yang baik dalam pelbagai industri, kesalinghubungan dalam talian dan luar talian yang berstruktur serta sokongan padu dari negeri itu untuk melengkapkan pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia.

“Lokasi strategik Selangor, yang disokong oleh dua lapangan terbang antarabangsa utama serta pelabuhan kontena ke-12 paling sibuk di dunia (Pelabuhan Klang) dan pelbagai laluan kereta api, jalan raya dan udara yang canggih yang menghubungkan ke hab ekonomi dalam negara, menjadikan negeri itu sebagai satu daripada hab perniagaan paling menarik untuk menghubungkan pelabur ke pasaran Asean dan global,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini Selangor menumpukan kepada lima kluster perindustrian teras yang besar iaitu elektrik dan elektronik (E&E), sains hayat, makanan dan minuman, pembuatan, peralatan pengangkutan dan mesin dan peralatan untuk mengukuhkan ekonominya.

“Dalam lima kluster teras ini, kami dapat mengenal pasti dan membangunkan lagi sub-industri — daripada aeroangkasa, produk makanan dan minuman halal hinggalah kepada farmaseutikal — yang mempunyai potensi tinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi bagi tempoh terdekat ini dan juga bagi masa depan.

“Selain itu, menarik pelaburan berkualiti ke dalam kluster ini akan menambah nilai kepada rakyat dan negeri dengan memadankan peluang pekerjaan yang sesuai dengan graduan baharu, meningkatkan modal insan negeri serta melaksanakan pertukaran teknologi,” jelasnya.

Memetik data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari 2016 hingga 2020 beliau berkata sektor E&E kekal sebagai antara sektor utama yang menerima pelaburan dalam negeri dengan jumlah pelaburan sebanyak RM8.8 bilion.

Ini diikuti sektor peralatan pengangkutan, yang merangkumi subsektor seperti industri aeroangkasa, dengan pelaburan berjumlah RM5.8 bilion.

Selangor juga secara konsisten menarik pelabur dalam sektor makanan dan minuman, dengan pelaburan bernilai kiraa-kir RM1 bilion setiap tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

“Menariknya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, minat baharu terhadap industri produk kertas telah muncul di negeri ini, yang menghasilkan pelaburan bernilai RM15 bilion.

”Pada masa yang sama, dengan keadaan pandemik semasa, pengeluar sarung tangan getah dan produk berkaitan perubatan di negeri ini juga telah mengembangkan operasi mereka dan membuat pelaburan yang besar. Pada 2020, pelaburan dalam produk getah sahaja di Selangor mencecah RM1.4 bilion,” katanya lagi.

Dalam laporan “Menjalankan Perniagaan 2020” Bank Dunia, Malaysia menduduki tempat ke-12 daripada 190 ekonomi.

Menurut The International Monetary Fund 2019, Negara juga menduduki tempat kedua dalam Perdagangan dan Kesalinghubungan di Asia Tenggara dan berada dalam kalangan tiga negara utama Asean berdasarkan KDNK.

Sementara itu, mengikut kaji selidik InterNations Expat Insider 2021 Malaysia berada di kedudukan keempat bagi destinasi kegemaran ekspatriat.

Beliau berkata pencapaian ini dicerminkan melalui laporan tahunan MIDA, yang menunjukkan bahawa Malaysia mencatatkan FDI sebanyak RM64.2 bilion (US$15.5 bilion) pada 2020, walaupun dengan keadaan pandemik global.

Selangor khususnya merupakan destinasi pelaburan utama di Malaysia bagi tahun ketiga berturut-turut dengan jumlah pelaburan sebanyak RM18.4 bilion (US$4.5 bilion) pada tahun lepas.

”Untuk meningkatkan lagi profilnya, Selangor menganjurkan sidang kemuncak perniagaan serantau, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada setiap tahun.

“SIBS merupakan forum serantau paling utama dan salah satu inisiatif hab perdagangan global utama oleh Selangor untuk menghubungkan perniagaan, pelabur sedia ada dan yang berpotensi yang ingin menjalankan perniagaan serta berhubung dengan Asean dan pasaran antarabangsa,” katanya.

 

— BERNAMA


Pengarang :