Orang ramai perlu patuh tatacara operasi piawai dengan menggunakan pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor rekod lebih 100,000 kes sporadik Covid-19

SHAH ALAM, 21 JUN : Selangor merekodkan kes sporadik Covid-19 tertinggi dengan catatan 151,727 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu daerah yang mencatat kes tinggi adalah Petaling sebanyak 3,905 diikuti Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482).

“Kes sporadik adalah kes yang dikesan dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. Jangkitan itu sama ada daripada saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti atau saringan kes bergejala,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan ekoran kes berkenaan kebanyakan tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti individu yang tidak mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) dengan betul.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata negeri lain yang turut mencatat kes sporadik tertinggi adalah Kuala Lumpur sebanyak 44,517 diikuti Sarawak (40,889).

Justeru, beliau menggesa masyarakat mematuhi saranan tindakan kesihatan awam kendiri bagi melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada dijangkiti wabak tersebut.

Antara tindakan kesihatan awam kendiri yang boleh diambil oleh masyarakat adalah seperti berikut;
• Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar;
• Sekiranya perlu keluar, patuhi arahan Majlis Keselamatan Negara;
• Optimakan penggunaan teknologi komunikasi untuk kekal berhubung dengan sahabat dan sanak-saudara;
• Gunakan perkhidmatan dalam talian sekiranya perlu membuat sebarang pembelian;
• Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif;
• Sekiranya dibenarkan untuk menjalani  Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), patuhi segala peraturan.
• Daftarkan diri anda dan keluarga mendapatkan vaksin Covid-19


Pengarang :