ADNSELANGOR

Selangor selangkah ke hadapan dalam bantu rakyat

SABAK BERNAM, 11 JUN: Pakej Kita Selangor 2.0 membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa selangkah ke hadapan dalam membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 sejak setahun yang lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata peruntukan lebih RM500 juta yang diumum Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Amirudin Shari diberikan secara menyeluruh tanpa mengira sentimen politik termasuk di kawasan pembangkang.

“Semangat kita Selangor kita rai bersama, bantu sedaya upaya dalam meringankan beban rakyat antaranya bantuan bakul makanan yang diperuntuk di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk parlimen.

“Saya hargai dan terima kasih kepada Dato’Menteri Besar kerana memastikan semua kawasan dapat manfaat, nasib rakyat terbela dan hak mereka kita pertahankan,” kata Ng Suee Lim ketika ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Seri Sekinchan di sini semalam.

Suee Lim berkata peruntukan besar juga dikeluarkan Kerajaan Negeri menerusi Saringan Komuniti atas rasa tanggungjawab dalam memastikan warga Selangor mengetahui status kesihatan masing-masing.

“Bayangkan yang hadir di setiap lokasi dengan kos RM70 setiap seorang… kalau satu kawasan 1,000 orang hadir sudah pastu berjuta ringgit dibelanjakan demi rakyat. Tiada satu negeri mampu melakukan inisiatif saringan secara besar-besaran seperti Selangor,” katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 


Pengarang :