Mohamed Fareed Ashaaree (kanan) menyerahkan cek cura bernilai RM5,000 kepada Dr Shahril Baharim untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tempoh dilanjut hingga Julai, orang ramai dipelawa derma tabung Palestin

SHAH ALAM, 23 JUN: Orang ramai termasuk individu dan syarikat korporat diseru menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu penduduk Palestin.

Bendahari Negeri Dr Shahril Baharim berkata kempen sehingga akhir Julai diurus mengikut Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957 tanpa melantik mana-mana ejen bagi mengutip derma.

“Saya menyeru individu dan syarikat yang nyatakan komitmen untuk memberi sumbangan melakukannya secepat mungkin kerana kita akan mengagihkan dana ini kepada badan tertentu.

“Semua derma perlu dibuat atas nama bendahari. Kita beri jaminan ia diurus ikut peraturan kewangan betul dan tidak akan disalah guna,” katanya selepas menerima serahan Tabung Cinta Palestin Media Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Ashaaree berkata sumbangan RM5,000 bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin yang ditimpa masalah kemanusiaan.

“Ini bukan melibatkan isu keagamaan sahaja tetapi kemanusiaan meliputi semua masyarakat.

“Harapan kami agar semua rakyat Malaysia terus pirhatin dan menyumbang untuk membantu meringankan beban penduduk Palestin yang menghadapi masalah kemanusiaan,” katanya.

Kerajaan Selangor menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan sasaran kutipan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Bantuan berkenaan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan penduduk negara itu.

 

 


Pengarang :