Ilustrasi penderaan dan keganasan rumah tangga. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor wujud talian khas, tangani keganasan rumah tangga ketika PKP

SHAH ALAM, 14 JUN: Talian khas aduan keganasan rumah tangga khusus untuk individu terkesan di Selangor susulan penularan pandemik Covid-19 akan dibangunkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki berkata pihaknya menerusi jawatankuasa keganasan rumah tangga sedang membincangkan cadangan itu dengan lebih lanjut.

“Inisiatif ini dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan diketuai EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud.

“Kita dapati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan dalam tempoh panjang memberi kesan mental sehingga ada terpaksa mengambil ubat tidur untuk berasa tenang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, WBS merancang sistem itu selepas menerima banyak aduan keganasan rumah tangga sejak PKP berkuat kuasa tahun lalu.

“Dana diberikan Kerajaan Selangor untuk sistem ini juga hasil daripada kajian pihak kami. Terima kasih kerana mendengar pandangan dan prihatin,” katanya.

Pada Rabu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 


Pengarang :