Petugas kesihatan meletakkan sampel calitan dalam tiub pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare beri jaminan saringan percuma fasa dua berjalan lancar

SABAK BERNAM, 9 JUN: Klinik Selcare tekad meneruskan khidmat terbaik bagi memastikan program Saringan Komuniti Covid-19 fasa dua yang dijangka bermula pertengahan bulan ini berjalan lancar.

Pengurusnya Mohd Noor Md Nasir berkata pihaknya akan mempersiapkan petugas kesihatan selain memberi jaminan bekalan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) mencukupi.

“Persediaan ketika ini pada tahap terbaik malah yakin tidak akan berdepan sebarang masalah dengan mengambil kira pengalaman mengendalikan beberapa siri program saringan sebelum ini.

“Kita juga dalam peringkat akhir perbincangan bersama Operasi Pasukan Khas Selangor (STFO) untuk menyenaraikan kawasan mana yang perlu masuk semula sebelum diluluskan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Stadium Sungai Besar hari ini.

Sabtu lalu, Mohd Noor memaklumkan fasa kedua program itu akan dilaksanakan dengan menumpukan kawasan mencatat kes positif Covid-19 lebih lima peratus.

Setakat ini, lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) merekodkan kes disyaki positif melebihi paras lima peratus iaitu Kajang (8.08), Hulu Kelang (8.06), Bukit Antarabangsa (7.58), Sungai Tua (5.63), Gombak Setia (8.24), Taman Templer (7.99), Seri Setia (6.99) dan Taman Medan (5.29).

Sejak 8 Mei, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri.


Pengarang :