Program Bual Bicara Seldec: Platform Bantu Peniaga Selangor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor dan Seldec pada 22 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Seldec tambah kategori jualan fesyen, kesihatan mulai Ogos

SHAH ALAM, 22 JUN: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bakal menambah empat kategori baharu jualan produk menjelang Ogos, kata pengurus besarnya.

Mohd Fauzan Elham menjelaskan kategori meliputi fesyen, kesihatan dan kecantikan, perkakas rumah serta perkhidmatan bagi meluaskan ruang perniagaan kepada usahawan.

“Ketika ini kita hanya tawar tiga kategori iaitu makanan basah, makanan kering seperti gula dan beras dan makanan sejuk beku.

“Ogos ini kita akan tambah beberapa kategori hasil kerjsama dengan pihak lain. Langkah ini memudahkan pembeli berbelanja menerusi portal e-dagang terbabit,” katanya dalam program Bual Bicara Seldec: Platform Bantu Peniaga Selangor.

Program tersebut disiarkan secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Mohd Fauzan menambah Seldec akan diperluas ke seluruh negara melalui kerjasama syarikat logistik dan agensi kerajaan tempatan bagi membentuk hab penghantaran.

“Untuk menjayakan rancangan ini, Seldec akan memulakan operasi dari kawasan luar bandar dan memilih Kuala Selangor sebagai projek pertama.

“Setakat ini, operasi Seldec melibatkan 38 kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sahaja. Pergerakan penghantar barang dalam radius 40 radius kilometer,” katanya.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan kecil dan pengusaha luar bandar di negeri ini.


Pengarang :