ADN Pandamaran Tony Leong Tuck Chee melawat Klinik Kesihatan Sungai Berteh yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 pada 18 Jun 2021. Foto Yb Tony
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Senarai nama warga emas, OKU belum terima vaksin diserah ke PKD Klang

SHAH ALAM, 21 JUN: Hampir 1,000 senarai nama warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) sekitar Pandamaran yang belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19 berjaya dikumpul sejak awal bulan ini.

Ahli Dewan Negerinya Tony Leong Tuck Chee berkata butiran terbabit akan dihantar secara berperingkat ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang untuk tindakan sewajarnya berikutan kesemua mereka sudah mendaftar sebagai penerima suntikan pelalian.

“Kita menerima aduan penduduk khususnya warga emas dan OKU yang rata-ratanya bimbang kerana masih belum dapat tarikh janji temu vaksin walaupun pendaftaran dibuat sejak Mac lalu. Malah, mereka pelik melihat ramai individu lebih muda sudah berbuat demikian.

“Justeru, pusat khidmat saya bekerjasama dengan ketua kampung untuk mendapatkan senarai diperlukan dan pihak berkaitan menyatakan kesediaan untuk membantu,” katanya sambil memberi jaminan golongan terbabit akan divaksin secepat mungkin mengikut giliran.

Sementara itu, beliau meminta warga emas berusia 50 tahun ke atas memanfaatkan rebat pengangkutan sebanyak RM10 yang ditawarkan Kerajaan Selangor untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri.

“Buat masa ini, pusat khidmat saya tidak menyediakan pengangkutan untuk membawa golongan tersebut ke PPV, malah tiada permohonan diterima untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka dipelawa untuk memohon rebat pengangkutan yang dibuka semalam dan kami akan bantu untuk menyelaras bantuan ini kepada mereka yang menetap jauh dari PPV,” kata Tony lagi.

Fasa kedua program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK) yang mengutamakan warga emas, OKU dan golongan berpenyakit kronik bermula 19 April.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaludin menjelaskan 88 peratus warga emas dan OKU di Selangor sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama atau mendapat janji temu.

Program Vaksinasi Covid-19 Selangor pula dijangka bermula Julai ini sebagai pelengkap kepada PICK dalam usaha mempercepat pencapaian imuniti kelompok dalam kalangan penduduk di negeri ini.


Pengarang :