Kakitangan Mais menyerahkan pek makanan kepada salah seorang individu yang terkesan akibat Covid-19 sekitar Sabak Bernam dan Klang pada 19 Jun 2021. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Serahan bantuan makanan kepada keluarga terjejas PKP selesai Ogos

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Serahan bantuan makanan asas kepada keluarga Islam seluruh negeri yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos depan sejak dimulakan minggu lalu.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata lebih 2,000 keluarga mendapat bekalan seperti beras, minyak masak, gula dan mi segera setakat ini, Hulu Langat mencatat penerima paling ramai.

“Insya-Allah dengan peruntukan sedia ada, bantuan akan sampai kepada golongan berkenaan yang kebanyakannya hilang punca pendapatan, dibuang kerja dan dikurangkan gaji akibat pandemik. Kita faham sumbangan sangat diperlukan mereka ketika ini.

“Agihan akan terus dibuat selepas senarai nama penerima diperoleh daripada masjid dan surau daerah terlibat termasuk Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK),” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Beliau berkata demikian pada program agihan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Shahir berkata pihaknya akan membantu keluarga yang layak disenarai sebagai asnaf fakir dan miskin dengan memanjangkan perkara terbabit kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tindakan sewajarnya.

“Kita mengesan ada keluarga berpendapatan sederhana (M40) turut yang terjejas akibat kekurangan pendapatan sehingga masuk golongan berpendapatan rendah (B40) semasa mengagihkan bantuan baru-baru ini,” katanya lagi.

Sebanyak RM2 juta diperuntuk Mais untuk membantu 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 dengan menumpukan mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji dan hilang punca pendapatan.


Pengarang :