Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sidang Parlimen secara hibrid dicadang akhir Ogos

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama hari ini bagaimanapun menyatakan beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.

Sehubungan itu, satu sidang Khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai dan sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

“Sesi sidang khas ini penting bagi memastikan semua ahli parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab ahli parlimen serta perkara teknikal berkaitan.

“Sekiranya cadangan ini diterima kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan Parlimen Malaysia untuk memperoleh bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian (trial run), pentauliahan dan latihan kepada petugas dan juga ahli-ahli parlimen,” menurut Yang Dipertua kedua-dua dewan.

-BERNAMA

 


Pengarang :