Selangorkini
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) Unisel, Muhamad Farid Wahid.
PENDIDIKAN SELANGOR

Siswa Unisel dinobat pelajar akaun terbaik negara

SHAH ALAM, 18 JUN: Seorang mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) berjaya merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan 2020 pada Persidangan Antarabangsa Institut Perakaunan Malaysia (MIA).

Susulan kejayaan itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Muhamad Farid Wahid bakal menerima biasiswa pembangunan professional daripada Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan wang tunai RM500.

Beliau dinobat MIA menerusi persidangan diadakan secara dalam talian bermula 8 hingga 10 Jun lalu, kata Unisel dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Farid, 26, memaklumkan beliau bersyukur dan bangga terpilih sebagai penerima anugerah itu dan berharap kejayaan itu menjadi inspirasi pelajar lain.

“Jutaan terima kasih kepada keluarga, pensyarah dan rakan yang banyak menyokong saya selama ini. Harapan agar dapat menjadi pemangkin semangat buat yang lain,” katanya.

Beliau yang telah menamatkan pengajian pada Disember tahun lalu kini bergelar Eksekutif Junior di Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Sementara itu, Penyelaras Program ISM Perakaunan (Kepujian), Datin Noor Nasyikin Md Zain berkata anugerah tahunan itu bertujuan menghargai pelajar cemerlang dalam program perakaunan membabitkan 17 universiti.

“Kejayaan Muhamad Farid adalah satu kebanggaan dan bukti program perakaunan Unisel antara terbaik dan setanding dengan universiti terkemuka dunia.

“Unisel menawarkan program pengajian berkualiti tinggi termasuk program ISM Perakaunan (Kepujian) yang diiktiraf dan mendapat akreditasi penuh badan profesional perakaunan di Malaysia dan antarabangsa,” katanya.


Pengarang :