Acara kelayakan akhir untuk ke Sukan Olimpik 2020 di Paris, Perancis pada 21 Jun 2021. Foto Facebook World Archery
AGENDASUKANKINI

Skuad memanah wanita kempunan, gagal beraksi di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Skuad memanah wanita kebangsaan terus kempunan untuk beraksi di pentas Olimpik apabila tiga pemanah gagal menempah slot ke Tokyo dalam acara recurve individu wanita pada kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris, Perancis semalam.

Saingan kempen terakhir ke Olimpik Tokyo itu menyaksikan pemanah negara, Nur Ain Ayuni Fozi tersingkir di pusingan keempat apabila atlet Poland, Magdalena Smialkowska mudah menewaskannya dengan keputusan 6-0 untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Terdahulu, seorang lagi pemanah Poland menyekat hasrat Nurul Azreena Mohamad Fazil yang tewas 6-2 di pusingan ketiga manakala Syaqiera Mashayikh pula terkandas pada peringkat kedua di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli, juga dengan keputusan 6-2.

Hanya lima sahaja slot akhir yang menjadi rebutan buat para pemanah yang bertanding dalam kempen kelayakan kali ini.

Keputusan itu menyaksikan ketiga-tiga wakil negara yang turut digandingkan dalam acara recurve berpasukan gagal mengubati kekecewaan mereka tersingkir di pusingan pertama di tangan pasukan Brazil selepas tewas 6-2 pada Ahad.

Kali terakhir pemanah wanita melayakkan diri ke temasya Olimpik adalah pada edisi 2012 di London, United Kingdom yang menyaksikan Nurul Syafiqah Hashim tersungkur di pusingan pertama dalam acara recurve individu kepada pemanah Taiwan, Lin Chia-En, dengan keputusan 6-2.

Kesemua pemanah wanita kebangsaan itu seterusnya dijadual beraksi pada Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021 juga di Paris, yang berlangsung hari ini sehingga 27 Jun.

-BERNAMA


Pengarang :