Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau lembangan sungai selama 24 jam menjelang Aidilfitri bagi mengelak henti tugas loji rawatan air. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

Skuad Pantas LUAS pantau sungai 24 jam walau PKP

SHAH ALAM, 1 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meneruskan operasi pemantauan selama 24 jam di lembangan sungai utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi itu dalam kenyataan hari ini menyebut langkah terbabit bagi memastikan tiada insiden pencemaran dan henti tugas loji rawatan air (LRA) dalam tempoh tersebut.

“LUAS menggerakkan Skuad Pantas untuk melaksanakan operasi pemantauan 24 jam di lembangan-lembangan sungai utama negeri untuk memastikan insiden pencemaran dan henti tugas LRA tidak berlaku sepanjang tempoh PKP,” katanya.

LUAS berkata operasi ibu pejabatnya dan dua cawangan di Seksyen 15, Shah Alam dan Bangi ditutup berkuat kuasa hari ini sehingga 14 Jun.

Katanya, sebarang urusan atau pertanyaan boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2647904 dan e-mel [email protected].

Kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh dua minggu mulai hari ini.

Keputusan mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 melebihi 8,000 kes sehari, kes aktif lebih 70,000 dan angka korban yang semakin meningkat.


Pengarang :