Jemaah Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam menunaikan solat Zohor berjemaah dengan mengikut SOP penjarakan fizikal 1.5 meter dan pemakaian pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19 pada 4 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

SOP solat dan aktiviti di masjid, surau seluruh negara diperketat

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Selaras dengan pelaksanaan perintah pergerakan penuh berkuat kuasa hari ini sehingga 14 Jun, pihak berkuasa agama beberapa negeri mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) solat fardhu dan Jumaat di masjid dan surau masing-masing.

Dengan tujuan untuk mengekang penularan Covid-19 dan bagi mengelak masjid dan surau menjadi lokasi berisiko pencetus kluster, rata-rata SOP yang dikeluarkan hanya membenarkan bilangan jemaah solat yang sangat terhad, sementara aktiviti lain dan pengimarahan ditangguhkan.

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata bagi solat Jumaat dan fardu di masjid serta surau Jumaat, hanya 12 jemaah dibenarkan terdiri daripada pegawai masjid dan ahli Jawatankuasa (AJK) dengan penjarakan 1.5 meter.

“Solat fardu juga dibenarkan di semua surau dengan bilangan jemaah tiga orang sahaja yang terdiri dari imam, bilal dan noja atau AJK dengan penjarakan 1.5 meter,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Ajib berkata pengurusan jenazah yang bukan pesakit Covid-19 tidak dibenarkan di masjid dan surau kecuali dengan kelulusan khas.

Katanya, kelulusan tersebut tertakluk kepada jurumandi dan lima petugas, manakala solat jenazah pula tidak melebihi 12 orang termasuk ahli keluarga terdekat.

“Bagi urusan pengebumian jenazah juga tidak boleh dihadiri lebih 12 orang termasuk ahli keluarga terdekat,” katanya.

Di Perak, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah solat fardhu dan solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah terhad 12 orang sahaja termasuk imam daripada kalangan pegawai masjid atau surau dan jawatankuasa kariah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata bagi solat jenazah, lokasi solat bagi jenazah yang meninggal dunia di hospital, hendaklah berpandukan nasihat pihak hospital atau pegawai kesihatan.

“Tempat mengadakan solat bagi jenazah yang meninggal dunia di rumah, tertakluk kepada pilihan ahli keluarga sama ada diadakan di rumah, surau atau masjid. Bilangan jemaah mendirikan solat jenazah, maksimum 12 orang (termasuk imam),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya program pengimarahan di masjid dan surau ditangguhkan selain aktiviti pengurusan pula dilaksanakan secara maya dan dalam talian.

Di Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan solat Jumaat dan solat fardhu di semua masjid dan surau di negeri itu dengan kadar bilangan jemaah tidak melebihi 15 orang.

Pengarahnya Mohd Zakuan Zakaria berkata ia juga perlu mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

“Jemaah yang hadir hendaklah berstatus warga negara dan pemastautin tetap yang berusia 15 hingga 70 tahun sahaja dan kaedah pemilihan jemaah juga ditentukan oleh jawatankuasa kariah masjid atau surau Jumaat dengan mengambil kira lokaliti setempat dan penggiliran dalam sesuatu kariah.

Bagi tujuan pengebumian pula, ia tidak melebihi jumlah yang sama, namun aktiviti ziarah kubur selepas urusan pengebumian adalah tidak dibenarkan.

Masjid atau surau juga hendaklah menyediakan ruang solat musafir khusus yang bertanda di kawasan balai lintang atau di ruang tertentu untuk kemudahan pekerja e-panggilan dengan penggunaan ruang tersebut hanya dibuka selama sejam selepas masuk waktu solat fardhu.

Katanya, semua aktiviti pengimarahan dan sosial seperti ceramah, kelas pengajian, akad nikah, bacaan yassin, tahlil dan program gotong royong secara bersemuka ditangguhkan dan hanya aktiviti ceramah serta kuliah dalam talian sahaja dibenarkan.

Sementara di Kedah, semua program keagamaan dan majlis ilmu serta aktiviti sosial dan kemasyarakatan tidak dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau di negeri bermula hari ini.

EXCO Agama negeri Datuk Najmi Ahmad bagaimanapun berkata solat fardu berjemaah di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid dan surau sahaja selain 13 orang untuk solat Jumaat.

Bagi upacara pernikahan (akad nikah) di negeri itu, Najmi berkata ia dibenarkan mengikut ketetapan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan dilaksanakan di pejabat agama daerah dengan SOP yang ketat dan hanya boleh dihadiri oleh pihak-pihak berkaitan tidak melebihi lapan orang sahaja.

Di Kelantan, SOP lebih ketat dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) apabila hanya membenarkan solat fardu bagi masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musolla seluruh negeri dengan empat orang sahaja.

Yang Dipertua Maik Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya diperlukan dalam melaksanakan ketetapan ini.

Di Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memaklumkan solat Jumaat, pengurusan dan solat jenazah serta aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di negeri itu adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Yang Dipertuanya Datuk Osman Muda berkata solat Jumaat akan digantikan dengan solat fardhu zohor dengan kehadiran jemaah seramai 12 orang sahaja terdiri dari pegawai masjid dan ahli jawatankuasa yang lain dan kebenaran sama bagi solat fardhu, selain bukan warganegara dilarang hadir ke surau atau masjid dalam tempoh itu.

“Selain itu, upacara akad nikah pula boleh dilaksanakan di Pejabat Agama Daerah dengan kehadiran seramai lapan orang sahaja termasuk wali dan jurunikah,” katanya.

Bagi kawasan yang dilaksanakan PKPD pula, beliau berkata solat fardhu berjemaah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum lima orang sahaja melibatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

-BERNAMA


Pengarang :