Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera sebelum memasuki sebuah pasar raya di ibu kota pada 23 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

STFO: Kes sporadik ancam golongan berisiko tinggi

SHAH ALAM, 22 JUN: Peningkatan kes sporadik Covid-19 boleh membahayakan individu dalam golongan berisiko tinggi,” kata pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO).

Justeru, Dr Mohammad Farhan Rusli berkata individu kes sporadik perlu diasingkan segera bagi mencegah penularan wabak dan keselamatan orang sekeliling.

Individu berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit dengan penyakit kronik, mereka yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.

“Apabila golongan berisiko tinggi berada bersama individu daripada kes sporadik, secara tidak langsung mereka terdedah dengan bahaya sehingga ada sebahagiannya perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Golongan yang tidak menerima vaksin juga antara yang berisiko jika berada bersama individu kes sporadik. Penting untuk mengasingkan individu kes sporadik demi keselamatan orang lain,” katanya.

Selain itu, Mohammad Farhan berkata saringan Covid-19 perlu dipertingkat dan menyeluruh bagi membantu mengesan kes sporadik.

“Ujian saringan perlu dilakukan secara besar-besaran supaya kes sporadik dapat diasingkan dan penyebarannya dapat dihentikan agar sesuatu komuniti selamat,” katanya.

Semalam, Selangor merekodkan kes sporadik Covid-19 tertinggi dengan catatan 151,727 kes. Daerah yang mencatat kes tinggi ialah Petaling 3,905 diikuti Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482).


Pengarang :