EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian meninjau longgokan sisa tayar sebuah gudang yang terbakar di Kawasan Perusahaan Segenting, Pulau Carey, Banting pada 29 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Struktur binaan haram di Telok Panglima Garang bakal diroboh

KUALA LANGAT, 29 JUN: Struktur binaan haram di 14 lot di atas jeti persendirian Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang di sini akan dirobohkan dalam masa terdekat.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata struktur itu dikesan selepas berlakunya kebakaran sisa tayar kitar semula seluas 0.37 hektar Sabtu lalu.

“Siasatan mendapati tujuh daripada 14 lot tanah di kawasan jeti ini berstatus industri tetapi tiada kelulusan merancang dan selebihnya pula untuk pertanian namun tidak cukup syarat beroperasi.

“Pemilik tanah juga pernah membuat permohonan untuk menukar status tanah kepada perindustrian pada 2018 dan perlu membayar premium tanah berjumlah RM1 juta tetapi tidak membayarnya,” katanya selepas meninjau kawasan kebakaran berkenaan hari ini.

Loy Sian berkata sisa bahan terbuang tersebut diimport dari Australia untuk digunakan sebagai bahan bakar kilang plastik kitar semula di Chemor, Perak dan kilang simen di Langkawi, Kedah.

“Kita meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menghentikan kebenaran mengimport bahan-bahan terbuang seperti ini yang tidak diterima negara lain.

“Malah, Lembaga Pelabuhan Klang juga perlu mengambil tindakan kerana jeti persendirian ini dibawah kawal selia mereka,” katanya.

Beliau berkata selain tindakan perobohan, tindakan turut diambil di bawah Jabatan Alam Sekitar iaitu iaitu Seksyen 29(A) dan Seksyen 22(2)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


Pengarang :