Pasangan Orang Kurang Upaya (OKU), Omar Lingga, 48, (kiri) dan Rohana Abdullah, 48 (kanan) tiba di pusat pemberian vaksin untuk suntikan dos pertama di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Pulau Pangkor hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suami, isteri OKU lawan rasa gemuruh terima suntikan vaksin

LUMUT, 27 JUN: Sepasang suami isteri Orang Kurang Upaya dari Kampung Teluk Gedung, Pulau Pangkor mengetepikan rasa gemuruh dan kegerunan “dicucuk” demi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19.

Rohana Abdullah dan suaminya Omar Lingga, masing-masing berusia 48 tahun, merupakan antara kira-kira 1,000 individu di pulau peranginan itu yang layak menerima vaksin Covid-19 dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut Rohana, dia dan suami datang ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor yang menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) menerusi satu program outreach, menaiki motosikal roda tiga dari rumah mereka, bagi mendapatkan vaksin berkenaan pada 11 pagi.

“Saya takut dicucuk, lagi pula dengar macam-macam cerita kononnya ada kesan sampingan yang teruk. Jadi saya rasa takut dan kalau boleh nak melewat-lewatkan giliran, tetapi saya sedar ini untuk kebaikan saya, tambahan pula saya menghidap penyakit saraf, kalau terkena jangkitan macam mana saya mahu mencari rezeki,” katanya ketika ditemui Bernama di klinik berkenaan.

Dia yang berniaga barangan runcit, turut bersyukur kerana dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) yang datang ke rumah untuk mendaftarkannya dan suami bagi menerima vaksin itu.

“Hari ini juga mudah, kami dibantu oleh Rela selepas tiba dan tidak menunggu lama untuk disuntik,” katanya yang menerima dos pertama hari ini.

Warga emas Shamsudin Mat Ali, 65, pula berasa lega dan bersyukur kerana selepas tiga minggu mendaftar menerusi MySejahtera, dia dipanggil untuk divaksinasi hari ini.

“Saya mahu negara pulih seperti sediakala. Saya rindu untuk keluar ke rumah tanpa memakai pelitup muka. Orang Pulau Pangkor jangan takut ambil vaksin kerana ia untuk kebaikan semua,” katanya yang menetap di Kampung Teluk Kecil di sini.

Seorang lagi penduduk, K. Muruga, 50, berkata dia hadir di klinik itu untuk mendaftarkan diri sendiri dan juga juga ibunya, Santhiyes, 77.

“Adanya program ini memudahkan penerima vaksin kerana tidak perlu keluar dari pulau,” katanya.

Sementara itu, sukarelawan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 1 Manjung, Mohd Zamzuri Suid, 52, berkata pihaknya sentiasa bersedia membantu melancarkan program vaksinasi di Pulau Pangkor.

“Kami mengumpul data penduduk selain turut menjadi sukarelawan di PPV. Selain kami, ada juga sukarelawan daripada Persatuan Rekreasi Pangkor yang telah mula bertugas sejak program dilaksanakan di Pangkor pada 4 Jun lepas,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :