Petugas Selcare sedang menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada salah seorang penduduk di kawasan USJ14 pada 24 Jun 2021. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suami positif Covid-19, wanita tekad bawa dua anak jalani saringan

SUBANG JAYA, 25 JUN: Khuatir dijangkiti Covid-19 daripada bapa mereka, seorang ibu tekad membawa dua anak perempuannya menjalani saringan bersasar.

Noorul Haish Ahmad Haja, 28, berkata suaminya disahkan positif baru-baru ini hasil saringan tempat kerja dan kini diarahkan kuarantin di rumah.

Salah seorang anak Noorul Haish Ahmad Haja menjalani ujian calitan pada 24 Jun 2021. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya mengambil keputusan untuk datang buat saringan bersama dua anak perempuan berusia empat dan 11 tahun kerana khuatir berjangkit dengan suami.

“Setibanya di sini saya buntu kerana dimaklumkan perlu berdaftar terlebih dahulu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan risau jika tidak dibenarkan buat saringan.

“Namun pihak pengurusan membantu melancarkan proses pendaftaran dan membolehkan saya, anak-anak bersama anak saudara buat saringan,” katanya ketika ditemui pada program saringan bersasar di Laman Sukan USJ 1 semalam.

Yeo Seng Huat

Program saringan bersasar dianjurkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya susulan terdapat dua restoran di USJ 14 merekodkan kes positif.

Warga emas, Yeo Seng Huat, 72, pula berkata beliau hadir melakukan saringan kerana pernah mengunjungi salah sebuah restoran tersebut pada 9 Jun lalu.

“Anak meminta melakukan saringan kerana saya merupakan antara yang berisiko tinggi kerana mempunyai penyakit darah tinggi dan jantung.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya dan keluarga tiada sebarang simptom dan berharap keputusan negatif kerana khuatir kini terdapat individu disahkan positif tetapi tidak bergejala,” katanya.


Pengarang :