Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor doakan Agong teruskan pemerintahan adil, bijaksana

SHAH ALAM, 6 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor mendoakan Yang di-Pertuan Agong dapat terus memerintah negara dengan adil lagi bijaksana berdasarkan Perlembagaan Negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 7 Jun ini.

“Paduka Kekanda mendoakan semoga Seri Paduka Adinda dilanjutkan usia, sihat wala’afiat dan sentiasa berada di dalam pemeliharaan Allah.

“Paduka Kekanda berharap agar Seri Paduka Adinda dapat terus memerintah negara Malaysia ini dengan adil lagi bijaksana berdasarkan Perlembagaan Negara,” titah baginda seperti dikongsi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Selangor juga turut mendoakan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bersabar dalam situasi yang melanda negara pada ketika ini.

“Melihat kepada situasi semasa ketika ini, Paduka Kekanda juga berharap Seri Paduka Adinda sentiasa bersabar dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, berlandaskan agama Islam seperti firman Allah di dalam Al-Quran.

“Semoga Seri Paduka Adinda terus bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan Malaysia dengan beroleh kemuliaan dan kesejahteraannya,” titah baginda.


Pengarang :