Jururawat melakukan persiapan bagi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Syarikat caj pekerja suntik vaksin boleh dikena tindakan – EXCO

SERI KEMBANGAN, 25 JUN: Majikan berdaftar boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati mengenakan caj bagi suntikan vaksin Covid-19 untuk pekerja, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata mengikut syarat perjanjian, syarikat yang mendaftar mendapatkan vaksin tersebut melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) perlu menanggung segala kos.

“Pekerja dikenakan bayaran secara sekali gus atau potong gaji diminta buat aduan supaya kita tahu syarikat apa dan tarikh vaksinasi. Kita akan cari (majikan) berdasarkan rekod.

“Jika berlaku (caj pekerja), kita akan serah kepada Selgate Corporation Sdn Bhd untuk ambil tindakan,” katanya selepas program saringan Covid-19 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 memaklumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memuktamadkan bekalan vaksin berfasa bermula akhir bulan ini.

Program itu memfokus penerima vaksin dalam kalangan warga emas, pekerja industri dan kilang.


Pengarang :