Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) memegang plakad tertera nama syarikat yang menaja snek makanan untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 25 Jun 2021. Foto Team Selangor
AGENSISELANGOR

Team Selangor edar makanan ringan kepada petugas di pusat vaksin

SHAH ALAM, 26 JUN: Team Selangor mengedarkan sebanyak 734 makanan ringan untuk petugas barisan hadapan dan sukarelawan di tujuh pusat pemberian vaksin (PPV) negeri ini.

PPV itu antaranya Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Stadium Tertutup Kuala Selangor, Kompleks Sukan Pandamaran, Dewan Kelab Kilat Pangsapuri TNB, Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat, Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah dan Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi.

Ketua sekretariatnya berkata makanan ringan tajaan syarikat yang menyumbang melalui Yayasan Foodbank Malaysia diagih sejak Isnin lalu hingga semalam.

“Edaran makanan ringan ini sebagai tanda terima kasih dan sokongan tidak terhingga kami mewakili rakyat Selangor kepada golongan terbabit yang bertugas di PPV.

“Semoga petugas barisan hadapan dan sukarelawan terus bersemangat serta kekal selamat dalam menjalankan tugas yang berisiko itu,” kata Syahaizel Keman kepada SelangorKini.

Beliau menambah pihaknya akan menyalurkan bantuan sama ke beberapa PPV lain minggu hadapan mengambil kira permohonan diterima daripada pengurusan berkaitan.


Pengarang :