Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada asatizah di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam pada 15 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tenaga pengajar agama negeri dapat bantuan makanan RM100,000

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor memperuntuk RM100,000 untuk bantuan makanan asas kepada 1,000 asatizah seluruh negeri yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata pek bantuan bernilai RM100 setiap seorang bagi meringankan beban penceramah pemegang tauliah kategori D3 dan D4 yang kehilangan pendapatan susulan Covid-19.

“Peruntukan ini sebahagian sokongan kita kepada semua pihak terjejas. Asatizah memang mencampakkan diri mereka sepenuhnya dalam dunia dakwah dan tidak terlibat dengan pekerjaan tetap lain.

“Sepanjang PKP, mereka tidak boleh menjalankan aktiviti di masjid dan surau selain kegiatan (dakwah) dalam talian juga agak terhad sehingga menyebabkan kehidupan mereka terganggu serta pendapatan terjejas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan itu kepada 280 penerima yang berdaftar bawah Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Petaling di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad turut serta dalam agihan yang dibuat secara pandu lalu itu.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata serahan kepada penerima lain dijangka selesai Isnin depan menggunakan kaedah sama di Paid masing-masing.

“Semoga dengan bantuan ini dapat meningkatkan semangat dan iltizam mereka untuk terus menyampaikan ilmu dakwah serta pembelajaran walaupun dalam kekangan Covid-19,” katanya.


Pengarang :