Juwairiya Zulkifli, beramah mesra dan memberi penerangan kepada penduduk yang membuat pendaftaran vaksin ketika Program Kaunter Bergerak Pendaftaran Vaksin anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Melawati di Taman Senangin, Jeram, Kuala Selangor pada 18 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tidak tahu teknologi punca warga emas tidak daftar vaksin

KUALA SELANGOR, 18 JUN: Ramai warga emas tidak mendaftar pengambilan vaksin Covid-19 susulan kurang kemahiran dan pengetahuan berhubung aspek teknologi.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata golongan itu sebolehnya mahu menerima suntikan imunisasi lebih awal bagi melindungi diri namun terhalang kerana kekangan terbabit.

“Melalui program pendaftaran bergerak hari ini, majoriti yang hadir maklumkan mahu disuntik tetapi disebabkan tidak tahu menggunakan telefon pintar, tidak reti menulis dan membaca mereka tidak daftar.

“Jadi saya harap warga emas bermasalah memanfaatkan peluang yang ada. Mereka perlu ambil vaksin kerana merupakan golongan berisiko,” kata Juwairiya Zulkifli ketika melawat program pendaftaran vaksin bergerak di Jalan Senangin, Jajaran Kuala Selangor hari ini.

Beliau berkata program menyasarkan warga emas dan orang kelainan upaya itu akan diteruskan ke semua kawasan terutama kampung tradisi, kampung bagan dan komuniti India.

“Kita jangka sesi jelajah ini selesai dalam tiga minggu. Ini sebagai langkah membentuk imuniti kelompok serta mengurangkan jangkitan wabak dalam kalangan penduduk Selangor,” katanya.

Pada 4 April, Dato’ Menteri Besar melancarkan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.


Pengarang :